Berita selanjutnya boleh di baca di sini.
Hati Emas Kemahiran Mara bantu golongan miskin
SIK 29 Dis. - Program khidmat masyarakat Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang melibatkan projek membina rumah penduduk miskin oleh pelatih institusi kemahiran milik agensi itu dilancarkan hari ini.
Program Hati Emas Kemahiran Mara berkenaan dilaksanakan bagi membantu dan meringankan beban penduduk miskin di luar bandar yang memerlukan rumah baru dengan peruntukan sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Pengarah Kanan Penganjuran Mara, Mansur Puteh berkata, program membina rumah itu dijalankan sepenuhnya oleh pelatih Institut Kemahiran Mara (IKM) dan pelatih Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dalam tempoh singkat sekali gus dapat menjimatkan kos pembinaannya.
Katanya, peserta yang terlibat dipilih menerusi Program e-Kasih, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dan pejabat wakil rakyat dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.
"Kerajaan telah memberi peruntukan awal sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan program terbaru itu yang melibatkan pelatih IKM dan KKTM di seluruh negara," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program tersebut oleh ADUN Belantek, Mohd. Tajuddin Abdullah di IKM Sik dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengarah IKM Sik, Rashidi Taha dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Sik, Abdul Aziz Hassan.
Sebanyak 38 penduduk di daerah ini dipilih menyertai program itu manakala masing-masing lima dari Kuala Muda dan Kuala Nerang.
Pada majlis pelancaran itu, seorang ibu tunggal, Maznah Mohd. Isa, 54, dari Kampung Rimba Badak dekat sini telah dipilih menjadi penerima pertama program tersebut.
Mansur menjelaskan, program khidmat masyarakat Mara itu juga sebagai satu latihan amali dan praktikal kepada pelatih terbabit memperoleh sijil kemahiran mereka.
Katanya, menerusi program tersebut, para pelatih terbabit hanya mengambil masa selama 27 hari untuk menyiapkan rumah yang dibina.
"Mara akan memperluaskan lagi program tersebut termasuk menambah peruntukan sekiranya ia berjaya mencapai matlamat untuk membantu rakyat khususnya di luar bandar memperoleh rumah yang lebih selesa," ujarnya.
Buat masa ini katanya, seramai 12,656 pelatih IKM dan KKTM boleh digerakkan menjadi anggota sukarela program itu sekali gus memantapkan lagi kemahiran mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Tajuddin berkata, program yang diperkenalkan oleh Mara tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk miskin bagi memberikan keselesaan kepada mereka.
Katanya, bagi anak muda pula mereka boleh menyertai IKM atau institusi kemahiran jika berminat mendalami kemahiran tertentu.
0 comments on "Pelancaran Program Khidmat Masyarakat Perdana IKM/KKTM Peringkat Kebangsaan"
Post a Comment