SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 55

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 55
JANJI DITEPATI

AIDIL FITRI 2012

AIDIL FITRI 2012
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI

22 July 2011

Teoh Beng Hock Bunuh Diri.

Posted by Anonymous at 10:45 AM

21 Julai, 2011 17:03 PM
Suruhanjaya Dapati Teoh Beng Hock Bunuh Diri
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock mendapati kematian pembantu khas seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009 adalah akibat membunuh diri.

Keputusan itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya itu telah bersidang selama 50 hari mulai 14 Feb sehingga 10 Mei dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini.

Suruhanjaya itu dalam laporannya mendapati Teoh membunuh diri berikutan sesi soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.

Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh, sebaliknya menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan membabitkan Yong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam sidang akhbar mengenai laporan suruhanjaya itu di lobi Parlimen hari ini, berkata hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati Teoh tidak dibunuh tetapi beliau merasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan, disokong dengan perwatakan beliau yang lemah telah menyebabkan beliau membunuh diri.

Beliau berkata fakta mengenai bunuh diri ini telah disokong oleh testimoni pakar psikiatri forensik, Prof Paul Edward Mullen yang telah diambil khidmat oleh Majlis Peguam Malaysia.

Mohamed Nazri berkata Prof Mullen mengatakan Teoh benar-benar membunuh diri berdasarkan perwatakan yang telah bertukar daripada kumpulan berisiko terendah bagi pembunuhan diri kepada kumpulan berisiko tinggi setelah melalui sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan.

"Oleh itu Teoh Beng Hock bukan dibunuh oleh orang lain," katanya.

Selain laporan Dr Mullen, suruhanjaya itu turut mengambil pendapat dan pandangan pakar psikiatri forensik iaitu Dr Badi'ah Yahya dan Dr Nor Hayati Ali yang mewakili SPRM.

Menurut laporan suruhanjaya itu, kebarangkalian bahawa Teoh mengambil nyawanya sendiri dikaji mengikut sifat perwatakan dan perubahan minda daripada apa yang dijalaninya pada 15 dan 16 Julai 2009.

Selain menyiasat kematian Teoh serta hal yang menyelubungi dan menyumbang kepada kematiannya, suruhanjaya itu juga menyiasat sama ada berlakunya apa-apa perbuatan yang tidak wajar semasa pemeriksaan yang dijalankan ke atas Teoh dan membuat syor-syor mengenai tindakan sewajarnya di mana perlu.

Mohamed Nazri berkata hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati tiga pegawai penyiasat yang terbabit di dalam kes itu telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

Laporan suruhanjaya itu menyebut bahawa tindakan yang dilakukan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut.

Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar.

Suruhanjaya itu dalam laporannya berpendapat soal siasat keempat telah menjadi faktor pencetus yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Mohamed Nazri berkata berikutan siasatan yang dibuat, suruhanjaya telah mengusulkan supaya SPRM meneliti dan mengambil tindakan penambahbaikan dalam beberapa aspek termasuk kelayakan masuk ke perkhidmatan dan latihan pegawai, infrastruktur dan kemudahan asas pejabat serta mengkaji semula prosedur sedia ada supaya ia lebih mantap dan berkesan.

Hasil laporan itu merupakan keputusan yang dicapai secara sebulat suara antara Foong dan empat lagi anggota panel suruhanjaya itu iaitu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh; dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Laporan itu akan dijual kepada umum mulai Jumaat di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri pada harga RM45 senaskhah.

Mohamed Nazri dalam sidang akhbar itu berkata keluarga Teoh boleh mengambil sebarang tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang negara sekiranya mereka masih tidak berpuas hati dengan laporan suruhanjaya itu.

"Ini adalah negara bebas, kalau ada apa-apa cadangan lagi yang dimahukan, kita akan pertimbangkan. Lagipun suruhanjaya diraja itu dilaksanakan mengikut permintaan orang ramai," katanya.

-- BERNAMA

0 comments on "Teoh Beng Hock Bunuh Diri."

Post a Comment

Followers

 

YB DATUK MOHD TAJUDIN ABDULLAH Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez