Dari
BERNAMA:
Kayuh 'Gerek' Masuk Daerah Bukti Cinta Negara
Oleh Nurul Halawati Azhari
PENDANG, 26 April (Bernama) -- Mereka bermula dengan satu hobi sehinggalah tergerak hati untuk mengadakan siri jelajah Asia pada 2008.
Kayuhan pertama yang dilakukan oleh kelab basikal yang didaftarkan sebagai Associated Cyclosportif Trekkers (ACT), bermula di Singapura dan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor.
Kayuhan diteruskan ke Pantai Timur sehinggalah ke utara Semenanjung Malaysia dengan melepasi Rantau Panjang sebelum tiba di Songkhla dan seterusnya lajak ke Tanjung Piai.
Bagaimanapun, perjalanan jelajah beratus kilometer itu masih belum dapat memuaskan hati mereka memandangkan tidak banyak yang dapat disumbangkan kepada masyarakat setempat dan mereka mula untuk memikirkan sesuatu.
Jika sebelum ini kayuhan lebih kepada membuktikan daya ketahanan diri mereka, namun sejak tahun lepas, objektif kayuhan mulai terarah kepada satu misi positif iaitu membawa mesej mendidik masyarakat dengan konsep bersatu, berdisiplin, cintakan alam sekitar dan cintakan kedamaian.
KAYUHAN CINTA NEGARA 2011
Sungguhpun baru berusia dua tahun, kelab yang ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang, dari profesional hinggalah ke suri rumah ini, sudah mula dikenali dengan matlamat dan visi positif mereka berbasikal.
Tahun lepas, ACT telah pun mengadakan siri jelajah yang dinamakan Jelajah Berbasikal 1Malaysia. Program tersebut berjaya menamatkan kayuhan sejauh 1,200 km bermula di Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Jelajah yang bermula dari Januari hingga Oktober itu merekodkan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 1,150 kilometer dengan penglibatan kira-kira 300 peserta berbasikal.
Sebagai lanjutan daripada Jelajah 1Malaysia tersebut, sekali lagi ACT memulakan penjelajahan tahun ini dengan tema 'Kayuhan Cinta Negara 2011' (KCN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kayuhan Cinta Negara Zon Utara berkata, pendekatan ACT dengan berbasikal untuk mengenali negara dalam menzahirkan semangat cinta kepada negara adalah satu cara yang kreatif.
"Ia bukan hanya praktikal malah satu usaha berterusan melahirkan semangat patriotik setiap masa dan bukan hanya ketika sambutan bulan kemerdekaan. Malahan menjadi contoh terbaik apatah lagi dengan singgah di sekolah dan kampung," katanya.
SEDERHANA TAPI BERKESAN
"Kami memulakan satu usaha yang baik, bersifat sederhana tetapi mempunyai impak yang besar," demikian yang diharapkan oleh penasihat ACT merangkap Ketua Ekspedisi Jelajah , Ahmad Ruzizan Maphilindo Md Isa.
Buktinya, selepas KCN fasa pertama yang berlangsung di Pahang, Januari lepas, ACT kini dalam rangka kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negeri untuk mengambil kampung angkat di negeri tersebut.
Ia selari dengan matlamat kelab yang berkayuh menjelajahi daerah-daerah untuk menanamkan rasa cinta kepada negara dengan mengenali masyarakat secara lebih dekat.
Menurut beliau, acara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Polis Di-Raja Malaysia, badan kerajaan dan bukan kerajaan itu dianjur bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan rakyat negara ini melalui sukan berbasikal.
"Jelajah KCN kali ini telahpun memasuki fasa kedua. Fasa pertama 'Moh Kayuh Beskal' telah dimulakan di Felda Jengka 25 pada Januari lepas dan berakhir di Kuala Lipis dengah jarak kayuhan sejauh 128km.
"Ketika menjelajah kami berhenti di pelbagai tempat dan bermesra bersama masyarakat tempatan. Mengeratkan hubungan silaturrahim bersama keluarga angkat. Selain fokus untuk mencari kebaikan dan potensi sesebuah kawasan dan pada masa depan membantu membangunkan masyarakat luar bandar," jelas Ahmad Ruzizan.
LAYAK SEBAGAI DUTA GAYA HIDUP SIHAT
Tanpa tajaan, tanpa kepentingan peribadi, kelompok berbasikal ini mungkin lebih patriotik kerana mereka bercita-cita mengajak semua pihak sama ada individu mahupun masyarakat bekerjasama menghayati aspirasi kemerdekaan dan menjayakan cita-cita negara tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, fahaman ataupun budaya.
Sesuai dengan latar belakang ahli kelab yang pelbagai, setiap ahli mengeluarkan pembiayaan sendiri bagi menunjukkan mereka serius dengan masa depan negara.
ACT percaya, untuk membina negara Malaysia yang kuat, masyarakatnya harus memiliki kesihatan fizikal dan mental.
"Maka berkayuh adalah satu sukan yang sangat baik untuk menjaga kesihatan dan dalam masa yang sama boleh menjelajah mengenali negara," jelas Ahmad Ruzizan.
Malahan mereka mungkin boleh dijadikan duta gaya hidup sihat memandangkan semua ahlinya adalah bebas rokok. Lebih membanggakan, ramai di kalangan mereka adalah bekas perokok. Kerana itu dalam setiap hentian masyarakat diajak meninggalkan aktiviti rokok dan dadah.
SOKONG ALAM SEKITAR
Menyokong usaha menghijaukan bumi, penggunaan basikal juga selari dalam penjagaan alam sekitar kerana ia tidak mencemarkan alam.
Kelab berbasikal yang ahlinya terdiri daripada seluruh Malaysia ini turut mengambil bahagian dalam menangani isu pemanasan global.
Mereka menanam pokok di hentian-hentian persinggahan manakala wakil ACT setiap negeri akan secara berterusan menjaga pembesaran pokok tersebut. Ia bertujuan memastikan hubungan silaturrahim antara ACT dengan masyarakat setempat tidak putus begitu sahaja.
FELDA JADI DESTINASI PERSINGGAHAN
Dalam Jelajah KCN Fasa II ini, penganjuran diserahkan kepada ACT Kedah dan Perlis yang telah memilih tema 'Jom Kayuh Gerek: ACT Together As One'. Kayuhan seramai 150 peserta sejauh 108 km itu bermula di Pendang dan berhenti di beberapa destinasi.
Manakala Felda Lubuk Merbau sebagai destinasi persinggahan dengan pelbagai aktiviti bermasyarakat. Kayuhan hari kedua diteruskan dari Lubuk Merbau menuju ke Sik dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Jeniang.
Menurut peserta wanita, Asmayuzi Abdullah, 34, peluang memasuki kawasan Felda dan melihat gaya hidup dan budaya masyarakat di situ, membuka peluang buat dirinya mengenali lebih dekat kehidupan masyarakat FELDA.
"Walaupun yang ada sekarang ini adalah generasi kedua, namun kisah jerih perih generasi pertama bermandi keringat dan air mata membangunkan kawasan ini memberi kesedaran bagaimana sukarnya golongan terdahulu bekerja keras memajukan ekonomi negara," ujarnya.
Menurut Asmayuzi, sebelum Lubuk Merbau, mereka singgah di Felda Sungai Tiang dan menyaksikan persembahan silat Tomoi serta menanam pokok di sana.
Peserta juga dapat menikmati keindahan negeri Kedah, yang hijau dengan jelapang padi dan kawasan penanaman getah yang tersusun memberikan pemandangan yang menarik.
Paling dikagumi peserta kayuhan ialah laluan melintasi Tasik Beris sewaktu menuju ke Ladang Anggur Tasik Beris (Lake Beris Vineyard).
Seperti yang dikatakan oleh Adun Belantik, Mohd Tajudin Abdullah yang menyambut ketibaan ACT di situ, kawasan Tasik Beris bukan sahaja kaya dengan alam semulajadi yang menarik, malahan sesuai dipromosikan sebagai kawasan eko pelancongan.
"Di sini bukan sahaja ada tanaman anggur, tetapi turut memiliki kawasan penanaman lada hitam dan pelbagai jenis herba yang berpotensi dikomersilkan," sambung beliau.
Bagi Mohd Muazzamil Azman, 28, dari Kajang, penyertaan jelajah KCN amat bermakna buat beliau kerana dapat mengenali negeri Kedah dengan lebih dekat.
"Dengan berbasikal, kita dapat merasai sendiri cuaca dan udara di sini. Bagaimana udara yang sejuk ketika berkayuh di pagi hari. Bagaimana bahangnya jelapang padi di tengah hari malahan terasa lebih dekat apabila melalui kampung-kampung terutama perkampungan masyarakat Siam di Kedah.
"Sambutan dan lambaian mereka menunjukkan sikap mesra masyarakat kita. Saya dapat rasakan semangat perpaduan di situ," jelas Muaz.
Secara keseluruhan, usaha murni ACT harus diberi pujian. Mereka bukan sahaja membawa misi gaya hidup sihat dengan berbasikal. Bahkan membuktikan disiplin dan kerjasama adalah cara terbaik membentuk nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Menitik beratkan aspek disiplin dan keselamatan dalam kayuhan, setiap peserta ditetapkan dalam kelompok dan tidak dibenarkan potong-memotong.
ACT berharap dapat meningkatkan lagi usaha mereka dan akan meneruskan Program Kayuhan Cinta Negara Zon Tengah pada Julai akan datang.
-- BERNAMA
Gambar-gambar berkaitan aktiviti kayuhan cinta negara ini boleh di lihat di http://fotoweb.bernama.com
KUALA LUMPUR, 26 April -- Sebahagian daripada peserta Kayuhan Cinta Negara 2011 (Zon Utara) anjuran kelab berbasikal Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) bergambar bersama Anggota Dewan Undangan NEgeri (ADUN) Belantik, Mohd Tajudin Abdullah sewaktu persinggahan peserta di Ladang Anggur Tasik Beris, Kampung Telaga Batu, Sik di sini, baru-baru ini.
Dalam KCN Zon Utara sejauh 108 km tersebut, ACT memulakan kayuhan dari Pendang menuju ke Kampung Kura sebelum bermalam di Felda Lubuk Merbau pada hari pertama. Kayuhan hari kedua diteruskan ke Sik sebelum berakhir di Sek Keb Jeniang.
--fotoBERNAMA (2011) HAKCIPTA TERPELIHARA